Tuesday, May 25, 2010

Hayatilah 1Malaysia


Konsep 1Malaysia

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Mlaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika "Bangsa Malaysia" yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat itu. Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Ia juga sangat berbeza dari konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang.

1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh perlembagaan persekutuan sebagai udang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. malahan gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang ahasa kosep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setip kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap "Penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa kasud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Formula 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.

Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah dihuraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap "penerimaan" antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup akyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan. Sekian.

No comments:

Post a Comment