Saturday, May 29, 2010

FASA 2J JOHAN DAN NAIB JOHAN FUTSAL KRT SERI MANJUNG VI


Pasukan Futsal Bawah 18 tahun taman Fasa 2J telah menjadi johan dan pasukan futsal bawah 12 tahun pula menjadi naib johan pada Kejohanan futsal sempena Karnival KRT Seri Mnajung VI yang telah dijalankan pada 2 Apr 2010 yang lalu. Kedua-dua pasukan ini di bawah bimbingan jurulatih yang berpengalaman iaitu En. Nasir bin Yusof. Kejohanan tersebut menampilkan pasukan dari taman Fasa 2H dan Fasa 2I. Syabas diucapkan kepada pasukan futsal taman yang mana telah berjaya mengharumkan nama taman. BZ

YURAN BADAN KEBAJIKAN WARGA TAMAN FASA 2J BAGI TAHUN 2010


Warga taman yang dihormati semua.

Kutipan yuran untuk Badan Kebajikan Warga Taman Fasa 2J bagi tahun 2010 sedang dijalankan. Penghuni taman yang masih belum membuat pembayaran boleh berbuat demikian kepada Ketua Blok yang dilantik. Pembayaran boleh dilakukan secara pilihan iaitu RM 12 untuk setengah tahun dan RM 24 untuk setahun. Borang Biodata Penghuni Kediaman hendaklah dikembalikan juga berserta dengan gambar.

Kutipan yuran ini telah dipersetujui semasa Mesyuarat Agong Taman pada 10 Jan 2010 yang lalu. Komitmen dari semua penghuni kediaman amat diharapkan agar segala perancangan yang dirancang oleh Badan Kebajikan taman ini terlaksana.

Sekian dan salam 1Malaysia.

Friday, May 28, 2010

BUDAYA GOTONG- ROYONG


Amalan gotong-royong adalah satu amalan yang mulia. Lihatlah gambar ini di mana sejak di zaman kanak-kanak lagi amalan ini telah menjiwai diri meraka tanpa diarahkan. Inilah yang diharapkan untuk semua warga taman ini. Jadikanlah amalan ini dan dikekalkan di mana sahaja kita berada.

Untuk pengetahuan warga taman, jalan di bahagian belakang rumah kediaman hendaklah dibersihkan. Segala sampah, rumput dan sebagainya yang mana boleh menghalangi jalan tersebut hendaklah dibersihkan. Ini bertujuan bagi memudahkan pihak Bomba menjalankan operasinya apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diduga. Di samping itu juga bagi memudahkan pihak Skim Ronda Sukarela (SRS) KRT Seri Manjung VI menjalankan tugas yang akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat. Semua warga taman harap maklum. Sekian.

Tuesday, May 25, 2010

Hayatilah 1Malaysia


Konsep 1Malaysia

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Mlaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika "Bangsa Malaysia" yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat itu. Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Ia juga sangat berbeza dari konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang.

1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh perlembagaan persekutuan sebagai udang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. malahan gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang ahasa kosep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setip kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap "Penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa kasud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Formula 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.

Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah dihuraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap "penerimaan" antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup akyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan. Sekian.

Sunday, May 23, 2010

FASA 2J NAIB JOHAN BOLA JARING KRT SERI MANJUNG VI


Pada 1 Mei 2010 yang lalu bertempat di Padan Bola Jaring Fasa 2J satu kejohanan bola jaring Karnival Sukan KRT Seri Manjung VI telah diadakan yang mana ianya melibatkan 3 pasukan iaitu pasukan Fasa 2H, Fasa 2I dan Fasa 2J. Pasukan bola jaring Fasa 2J telah dikendalikan oleh Pn. Pauziah binti Bahari. Perlawanan tersebut juga telah diadakan secara liga dengan keputusan seperti berikut. Fasa 2J menang Fasa 2H dengan agregat 11 - 7 manakala Fasa 2J kalah Fasa 2I dengan agregat 5 - 6 menjadi jumlah jaringan 16 gol. Kemenangan dinobatkan kepada Fasa 2H dengan kelebihan jaringan 18 gol. Syabas diucapkan kepada semua pemain dan penyokong yang memberi sokongan padu kepada pasukan bola jaring Fasa 2J. BZ.

FASA 2J JOHAN SEPAK TAKRAW KRT SERI MANJUNG VI

Pasukan Sepak Takraw Fasa 2J di bawah kendalian En. Abd Ghafar bin Hassan telah menjadi johan sempena Karnival Sukan KRT Seri Manjung VI yang telah diadakan pada 8 Mei 2010 bertempat di Gelanggang Sepak Takraw Fasa 2J. Karnival ini disertai oleh 3 taman iaitu Fasa 2H, 2I dan 2J di mana setiap pasukan harus menyediakan 2 x regu dewasa dan 1 x regu remaja. Perlawanan telah dijalankan secara liga dengan keputusan Fasa 2J menang Fasa 2I dengan agregat 2 - 1 dan Fasa 2J menang Fasa 2H dengan agregat 2 - 0. Syabas diucapkan kepada semua pemain dan penyokong. BZ.

Saturday, May 22, 2010

KRT SERI MANJUNG VI JOHAN BOLA JARING KRT DAERAH MANJUNG



Pasukan Bola Jaring KRT Seri Manjung VI di bawah pengurusan Pn. Lazidah Hanum binti Yin telah menjuarai kejohanan bola jaring KRT daerah Manjung yang telah diadakan di padang permainan Fasa 2H dan 2I pada 22 Mei 2010 bermula jam 9.00 pagi. Kejohanan ini telah disertai sebanyak 8 pasukan yang terdiri dari KRT Taman Samudera I, KRT Taman Samudera II, KRT Taman Samudera Baru, KRT Manjung Point, KRT Fasa 3A, KRT Fasa 3C, KRT Fasa 1A dan KRT Seri Manjung VI.

Pada perlawanan akhir tersebut KRT Seri Manjung VI telah menewaskan KRT Fasa 3A dengan jaring agregat 5 - 2. Perlawanan akhir tersebut juga telah disaksikan Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Manjung iaitu Cik Pricilla a/p Gabrial. Sebelum manyampaikan hadiah kepada setiap pasukan yang bertanding, di dalam ucapan ringkasnya beliau tidak menyangka yang kejohanan ini mendapat sambutan yang menggalakkan serta mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang terlibat dan bercadang untuk mengadakan kejohanan ini lagi pada tahun ini juga.

Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan Bola Jaring KRT Seri Manjung VI kerana kejayaan yang dicapai dari seluruh warga KRT Seri Manjung VI. Well done dan Bravo Zulu.

Thursday, May 20, 2010

QIAM REMAJA DI MASJID DAERAH MANJUNG



Biro pendidikan dan pembangunan ummah Masjid Nurul Hidayah akan mengadakan program qiam remaja yang dirancang pada 29 Mei 2010 ditunda kepada 26 Jun 2010 kerana kurang sambutan daripada kalangan para remaja.

Program ini merupakan program susulan qiam rakan perdana dan dikhaskan untuk remaja lelaki yang berumur 15 hingga 18 tahun sahaja. Diharapkan dengan program ini dapat membantu sebilangan remaja untuk dijadikan role model remaja Masjid Manjung.

Yuran pendaftaran: RM 2.00. Warga taman yang berminat boleh menghubungi En. Abd Ghafar bin Hassan No. 753. Bagi kalangan remaja warga taman yang berminat Badan Kebajikan Warga Taman Fasa 2J akan menanggung yuran pendaftaran bagi remaja yang ingin mengikuti program ini.

Tarikh tutup pendaftaran pada 24 Jun 2010 dan borang yang telah siap diisi hendaklah dikembalikan kepada En. Abd Ghafar pada atau sebelum 22 Jun 2010.

TEMPAT ADALAH TERHAD.

KEJOHANAN BOLA JARING KRT DAERAH MANJUNG

Kejohanan bola jaring Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Manjung akan diadakan bertempat di Padang Permainan Fasa 2H,I pada 22 Mei 2010. Kejohanan ini diadakan sempena Minggu Perpaduan yang telah dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Lumut Yang Berhormat Dato' Seri Kong Cho Ha pada 16 Mei 2010 di Taman Nesa Sg Wangi, Air Tawar, Perak Darul Ridzuan.
Kawasan Rukun Tetangga Seri Manjuung VI (Fasa 2H, 2I & 2J) telah dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan kejohanan tersebut. Seluruh warga taman dijemput hadir bagi memeriahkan kejohanan tersebut.

Tuesday, May 18, 2010

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG


Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan iradatnya maka laman blog taman ini telah dapat diimplementasikan sebagai satu instrumen untuk manyampaikan berita, maklumat dan perkembangan terkini mengenai hal ehwal taman untuk pengetahuan seluruh peringkat komuniti warga taman ini.

Laman blog ini diwujudkan atas ilham Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Warga Taman agar segala maklumat dapat disalurkan melalui kaedah ini supaya ianya menjadi lebih efektif dan efisien di samping itu juga dapat menggalakkan warga taman menjadi Celik IT serta menjadikannya anjakan paradigma dalam kehidupan warga taman.

Badan Kebajikan Warga Taman juga berharap dengan kewujudan laman blog ini akan dapat memberi impak dan manfaat yang baik serta berkesan untuk seluruh komuniti sejajar dengan saranan kerajaan melalui gagasan 1 Malaysia.

Penambahbaikan ke atas laman blog ini amat dialu-alukan. Wassalam dan salam 1 Malaysia. Selamat melayari laman blog ini.